PORT DICKSON, 7 Jul – Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain menyifatkan acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Diraja Malaysia Lelaki Siri 191/19 yang diadakan pada Sabtu lepas adalah unik dan bakal dikenang oleh para Perajurit Muda.
“Kita tidak boleh untuk tidak mengadakan upacara perbarisan tamat latihan. Budaya rejimental dan latihan fizikal adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan oleh mana-mana pasukan uniform,
“Kita adakan majlis ini bagi memastikan Perajurit Muda mempunyai kenangan mereka. Apa yang pasti, perbarisan kali ini akan menjadi satu kenangan buat mereka sepanjang hayat,” jelas Zamrose semasa sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 191/19 pada Sabtu lepas.
Perbarisan yang diadakan adalah berbeza dengan siri sebelumnya kerana tidak dihadiri oleh ahli keluarga Perajurit Muda untuk menyaksikan perbarisan tamat latihan.
“Kita tidak dapat menjemput ahli keluarga para Perajurit Muda kerana ianya tidak dibenarkan. Ini terutamanya ketika menghadapi COVID-19,
“Namun, kita telah memberi peluang di kalangan mereka untuk berhubung dengan keluarga secara maya,” katanya.
Selain itu, perbarisan turut diadakan sebanyak 2 sesi dan berkonsepkan statik. Pelaksanaan ini adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Perbarisan kali ini juga menunjukkan penjarakan antara anggota yang terlibat dengan memakai topeng muka.
“Kita telah meminta kebenaran dari pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga MKN,
“Kita turut mematuhi standard prosedur operasi dan juga norma baharu bagi menggelakkan penularan wabak COVID-19,” ujar Zamrose.
Beliau menambah, pihak Tentera Darat Malaysia akan terus merujuk dengan pihak berwajib untuk melaksanakan majlis sebegini.
“Seperti yang kita sedia maklum, kita hadapi pelbagai fasa dalam menghadapi wabak COVID-19. Oleh itu, SOP juga sentiasa berubah mengikut keadaan,
“Oleh itu, kita akan merujuk kepada pihak MKN sekiranya mengadakan majlis sebegini,” jelasnya lagi.- airtimes.my