KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Halim Ishak menegaskan hak asasi rakyat Malaysia dan kedaulatan undang-undang perlu diutamakan ketika menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.
“Kedaulatan dan isu kemanusiaan adalah dua isu berbeza. Kedaulatan negara dan juga undang-undang perlu dimartabatkan serta tidak boleh dikompromi,
“Kita lihat ada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang usaha kerajaan atas dasar kemanusiaan,
“Apakah mereka fikir akan hak kemanusiaan 32 juta rakyat Malaysia berbanding kebanjiran PATI yang ada di negara ini?” kata Halim ketika ditemui di MCCF, semalam.
Beliau turut membidas tindakan beberapa ahli persatuan dan badan kebajikan dalam rancangan terbitan Al-Jazeera yang sengaja mengeluarkan kenyataan seolah-olah berniat untuk memalukan negara.
“Saya ingatkan kepada mana-mana rakan NGO agar lebih rasional dalam memberikan kenyataan,
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempertahankan nama baik dan maruah negara. Bukannya menjadi api dalam sekam melontarkan dakwaan dan tohmahan yang tidak begitu bertanggungjawab,”
Mengulas rancangan dokumentari tersebut, beliau menegaskan laporan yang dimuatkan adalah tidak benar dan berat sebelah.
“Saya mendapati, laporan yang dibuat adalah tidak tepat dan berniat untuk memburukkan negara,
“Pihak Al-Jazeera sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam melakukan laporan mereka. Mereka sepatutnya mendapatkan maklumat sebenar dengan menemubual pihak yang mengendali,
“Sebaliknya, mereka mewawancara PATI dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Al-Jazeera telah menerbitkan rancangan dokumentari mengenai usaha menangani PATI semasa Malaysia menangani isu COVID-19 di negara ini.
Rancangan tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang inginkan penyelesaian isu PATI yang kian berlarutan di negara ini. – airtimes.my
PENAFIAN:
Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.