Home Semasa COVID-19: Saringan hanya dibuat di Penjara Sungai Buloh

COVID-19: Saringan hanya dibuat di Penjara Sungai Buloh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ujian saringan COVID-19 hanya dilakukan di kawasan yang melibatkan kes positif COVID-19 sahaja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menjelaskan proses tersebut tidak melibatkan penjara atau Depot Tahanan Imigresen (DTI) lain di seluruh negara yang tidak mempunyai kes positif wabak berkenaan.

“Prinsip kita sama sahaja, hanya buat saringan COVID-19 di kawasan yang terlibat sahaja. Katakan di Penjara Sungai Buloh, jadi kita buat sarigan di penjara yang ada kes positif COVID-19 sahaja,

“Sama seperti di DTI Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang, tiga Depot sahaja yang dibuat saringan,

“Oleh yang demikian, saringan tidak perlu dibuat di depot tahanan atau penjara lain di seluruh negara kerana tidak mempunyai kes positif COVID-19,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata penjara di Sungai Buluh mempunyai 8 blok, tetapi hanya 1 blok yang terlibat dan akan dibuat saringan COVID-19.

Menurut beliau, seramai 600 banduan akan menjalani saringan COVID-19 iaitu blok yang terlibat sahaja.

Manakala 700 kakitangan penjara yang bertugas di Penjara Sungai Buloh juga akan disaring termasuk yang tidak bertugas di blok berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah mengesahkan salah seorang banduan di penjara Sungai Buloh positif wabak berkenaan.

Banduan warga asing terbabit telah berada di penjara berkenaan sejak 2016 sebelum dibebaskan 13 Mac lalu dan setelah didapati positif COVID-19, dia dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.- airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply