Home Semasa Kluster Pangsapuri Cheras mungkin berpunca dari aktiviti ziarah Aidilfitri

Kluster Pangsapuri Cheras mungkin berpunca dari aktiviti ziarah Aidilfitri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan kluster baharu pangsapuri di Cheras Kuala Lumpur, dipercayai berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Seperti yang KKM maklumkan sebelum ini, terdapat satu kluster baharu di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur,

“Kes pertama kluster ini telah dikenal pasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz yang telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KKM,

“Bagaimanapun, melalui siasatan tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling,” katanya pada sidang harian di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, siasatan dan saringan kontak rapat bagi keseluruhan enam kes di situ telah dijalankan. Setakat ini seramai 120 orang telah dikenalpasti dan telah disaring.

“Daripada enam kes itu, tiga kes melibatkan penghuni pangsapuri dan tiga lagi di luar kawasan pangsapuri,

“Mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif,

“Kes-kes positif kluster ini adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan mesyarakat agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan, diadakan rumah terbuka dan perhimpunan secara beramai-ramai, tetapi masyarat masih tertakluk kepada PKPB di mana ianya adalah dilarang sama sekali,

“Oleh itu, orang ramai digesa supaya elakkan aktiviti kunjung-mengunjung,

“Kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sekiranya norma dan kelaziman baharu ini dijadikan satu amalan,” tegasnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply