Home Semasa 2,189 PATI warga Indonesia akan dihantar pulang pada 6 Jun

2,189 PATI warga Indonesia akan dihantar pulang pada 6 Jun

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 30 Mei – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 2,189 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia akan dihantar pulang pada 6 Jun ini.

Menurut Ismail Sabri, fasa pertama ini melibatkan warga Indonesia yang berada di depot-depot Imigresen di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 672 PATI di depot Imigresen, Sabah.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Wisma Putra telah mengadakan satu mesyuarat bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) mengenai penghantaran pulang PATI Indonesia pada 28 Mei lalu,

“Kesemua PATI Indonesia yang dihantar pulang akan menjalani ujian RTK Antigen, yang mana pihak KBRI dijemput untuk turut berada semasa ujian dijalankan,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Tambah Ismail Sabri, kumpulan pertama yang melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan 3 penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun dan akan diikuti pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 PATI ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun,

“Manakala fasa kedua pula melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak KBRI juga dibenarkan untuk membuat lawatan konsular bagi menguruskan urusan dokumentasi PATI yang belum mempunyai dokumen perjalanan.

Selain itu, beliau yang mewakili Kerajaan Malaysia ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia di atas kerjasama yang telah diberikan untuk membawa pulang rakyat mereka yang berada di pusat tahanan.

Dalam pada masa sama, ketika ini JIM dan Wisma Putra sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 PATI Nepal dan 2,476 PATI Bangladesh yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

“Terbaru berita yang diterima, Kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI),

“Oleh itu saya meminta supaya kedutaan lain yang mana rakyatnya masih berada di pusat tahanan juga tampil berbincang dengan kita (Malaysia) untuk mempastikan kita oleh menghantar pulang rakyat mereka ke negaranya,” jelasnya.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas 4,807 PATI serta pegawai dan kakitangan di tiga DTI iaitu Bukit Jalil sebanyak 1,545, Semenyih (1,785) dan KLIA (1,477).

“Daripada jumlah yang disaring 385 individu didapati positif COVID-19 termasuk seorang kakitangan DTI Semenyih. Manakala 37 individu lagi masih menunggu keputusan,

“Kesemua mereka yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang untuk rawatan. Seramai 26 PATI telah discaj dan dalam proses penghantaran pulang ke negara asal,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!