PUTRAJAYA, 12 Jun –Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 430 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah discaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang akan dihantar pulang ke negara asal mereka secepat mungkin.
Beliau berkata ketika ini seramai 813 PATI telah menerima rawatan di pusat tersebut.
“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membuat saringan COVID-19 terhadap PATI yang ditahan dan mereka yang didapati positif telah dihantar ke pusat rawatan di MAEPS untuk rawatan,” katanya semasa Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan sehingga semalam (11 Jun 2020), seramai 1,517 PATI telah ditahan dibawah Operasi Bersepadu atas pelbagai kesalahan imigresen.
Selain itu, PDRM juga telah berjaya menahan 4 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng.
“PDRM telah membuat 61 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,430 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus,
“Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong tikus,” tambah beliau.- airtimes.my