SUBANG, 7 Mei – Pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan membawa Helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysa (TLDM) ke Kota Kinabalu, Sabah semalam.
TUDM dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya berkata, pesawat A400M dari No. 22 Skuadron di Pangkalan Udara Subang ini berlepas pada jam 8.30 pagi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 11.10 pagi.
“Penerbangan yang mengambil masa 2 jam 40 minit telah diterbangkan oleh Mejar Lo Chee Sing TUDM dan dibantu Kapten Erid Abdul Rahim TUDM bersama 6 anak kapal yang lain,
“Penerbangan kali pertama ini membuktikan keupayaan pesawat A400M sebagai aset yang sangat diperlukan terutama ketika negara sedang dilanda krisis, ia juga merupakan pesawat pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus Defence and Space,
“Atur gerak pesawat udara TLDM kali ini juga adalah bukti usaha bersepadu di antara TUDM dan TLDM khususnya di dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, proses memuat naik Helikopter Super Lynx telah bermula seawal jam 5.30 pagi di Pangkalan Udara Subang.
“Dengan perancangan dan persediaan yang rapi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, juruterbang serta anak kapal telah membolehkan proses-proses memasukkan helikopter TLDM ke dalam badan pesawat dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat,” katanya.
Tambah TUDM lagi, tidak menjadi kesukaran buat juruterbang dan kuartermaster udara pesawat A400M dalam melaksanakan tugas seperti ini.
“Ini kerana mereka mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penghantaran melibatkan muatan strategik milik TUDM dan juga misi-misi bantuan kemanusiaan yang mana kejayaan paling besar adalah membawa jentera berat untuk membantu Republik Indonesia semasa misi “Humanitarian Assistance and Disaster Relief’’ (HADR) kejadian gempa bumi di Palu, Sulawesi Tengah Indonesia pada tahun 2018,” ujarnya. – AirTimes