Home Semasa Pegawai polis dihadap ke mahkamah atas dakwaan rogol gadis Mongolia

Pegawai polis dihadap ke mahkamah atas dakwaan rogol gadis Mongolia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Apr – Pegawai polis berpangkat Inspektor yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks semalam, dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya pula hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul.

Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya sebelum ini telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh pegawai berpangkat Inspektor itu yang terlibat dalam kes rogol di sebuah Hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.

“Kertas siasatan pertama telah dituduh semalam di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 13 (f) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks,

“Kertas siasatan kedua akan dituduh hari ini di Mahkamah Petaling Jaya mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali (30) semalam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, Hazrul Hizham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya didakwa telah menyalah guna kuasa untuk memperdagangkan seorang wanita Mongolia berumur 20 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya antara pukul 10.30 malam 10 April hingga 8.30 malam pada 11 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi wanita Mongolia berumur 36 tahun di bilik berlainan di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dalam masa yang sama, Huzir menegaskan, tindakan untuk membenarkan pertuduhan dibuat kepada suspek dalam kes tersebut membuktikan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi dan tidak akan melindungi sebarang perlakuan jenayah oleh mana-mana pegawai atau anggota dalam pasukannya.

“Ketegasan dalam mengambil tindakan tersebut, menunjukkan bahawa PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang,

“Tapi malangnya, terdapat segelintir masyarakat yang seolah-olah cuba mempertikai kewibawaan PDRM dalam mengendalikan kes yang melibatkan pegawainya sendiri,” katanya.

Huzir turut mengigatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap tidak matang khususnya dalam melontarkan komen atau ulasan dalam siasatan kes  ini.

“Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba untuk mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani apa jua kes yang disiasat oleh PDRM,

“Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara, bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” tambahnya lagi.

 

 

Related Articles

Leave a Reply