KUALA LUMPUR, 2 Apr – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah penganjuran bazar Ramadhan tidak sesuai dilaksanakan susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh negara ketika ini.
Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook bertitah, ia adalah kerana risiko berlakunya kontak rapat amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.
“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan Bazar Ramadhan bukan sahaja di sini, malah ditempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat,
“Lupakan Bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah Baginda.
Dalam masa yang sama, Baginda turut bertitah agar masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.
“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini,
“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah Baginda.
Sebelum ini, Kedah dan Selangor telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadhan. Manakala, Kementerian Wilayah Persekutuan masih belum lagi membuat keputusan untuk mengadakan bazar Ramadhan atau tidak.