Home Semasa UiTM sahkan seorang pelajar dijangkiti COVID-19

UiTM sahkan seorang pelajar dijangkiti COVID-19

by Farrah Najihah Hisyam

SHAH ALAM, 22 Mac – Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam telah mengesahkan bahawa seorang pelajar Pengajian Jarak Jauh (E-PJJ) didapati positif Koronavirus (COVID-19) pada Jumaat yang lalu.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Mohd Azraai Kassim berkata pelajar berkenaan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Beliau dijangkiti melalui ayahnya yang didapati positif COVID-19 setelah mendapat jangkitan daripada kontak rapat yang telah menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur tempoh hari,

“Pelajar berkenaan pula menghadiri kuliah pada 15 Mac 2020 dan apabila mendapati dirinya disahkan positif COVID-19, beliau memaklumkan kepada pensyarah mengenai keadaanya,” kata pihak UiTM dalam satu kenyataan.

Pihak universiti melalui Pusat Gerakan COVID-19 dan Pusat Kesihatan UiTM sudah memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keadaan pelajar tersebut.

“Kesemua kontak rapat mangsa sudah dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka sudah menjalani saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong,

“Pihak UiTM juga sudah melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di kelas dan kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Pihak UiTM menegaskan bahawa semua pelajar dan staf tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana pihak universiti telah mengambil langkah proaktif untuk mencegah wabak penyakit berjangkit tersebut. Mereka juga dinasihatkan untuk mengikut segala arahan dan nasihat dari pihak UiTM dan KKM dari semasa ke semasa.

Setakat hari ini, keseluruhan kes pelajar yang disahkan positif COVID-19 adalah seramai 3 orang dan kesemuanya sedang menjalani rawatan.

Sementara itu menurut sumber, pelajar terbabit merupakan anak kepada salah seorang pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia, semalam.

Related Articles

Leave a Reply