Home Pertahanan dan Keselamatan ATM nafi tentera diberi kuasa pukul orang awam

ATM nafi tentera diberi kuasa pukul orang awam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman suara yang mengambarkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi kuasa memukul orang awam, dan mesej tular pasukan itu memohon bantuan veteran tentera dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan seperti tular di media sosial.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM dalam kenyataan hari ini meminta masyarakat berhenti menyebarkannya SERTA-MERTA kerana mesej atau informasi tersebut boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat.

“Adalah ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota ATM kerana ini merupakan tugas sekunder ATM di waktu aman,” kata kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, ATM menyeru kerjasama dari orang ramai dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan agar usaha membendung penularan COVID-19 dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Rakaman nota suara dan mesej informasi yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan lain-lain medium media sosial adalah seperti berikut:

Assalamualaikum, Selamat Petang semua sekali, saya nak telefon sorang-sorang saya tak mampu. Jadi saya maklum dalam group ni jelah. Kami semua sekali angkatan tentera dah buat persiapan. Nampaknya kalau sesiapa yang melanggar arahan Perintah Kawalan ni dengan tak cakap banyak terus pukul ……”- berdurasi 39 saat.

Pihak Kementerian Pertahanan akan Memohon Bantuan Veteran Tentera ketiga-tiga perkhidmatan untuk membantu pihak berkuasa dan negara bagi menjalankan Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan orang awam seluruh negara.”

Related Articles

Leave a Reply