Home Politik PAS tidak berhasrat tuntut jawatan Exco Pahang

PAS tidak berhasrat tuntut jawatan Exco Pahang

by Bernama

TEMERLOH, 12 Mac – PAS Pahang tidak berhasrat untuk menuntut atau menerima jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun berlaku perubahan politik di peringkat nasional ketika ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian parti itu semalam, yang sepakat bahawa isu jawatan hanya dibincangkan selepas PRU15.

“Berdasarkan pemerhatian, kami melihat perjalanan pentadbiran kerajaan negeri berlangsung dengan baik dan lancar, jadi kami tidak berhasrat untuk mengganggu.

“Kami tidak akan menuntut jawatan sehingga PRU15, kecuali jika ada arahan di peringkat Pusat, yang mana jika berlaku, kami akan berbincang dengan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini semalam.

Ditanya mengenai jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau anak syarikat kerajaan negeri, Rosli berkata mereka sedia menimbang jika ada tawaran, namun memahami jawatan itu telah diisi sebelum terbentuknya Perikatan Nasional.

Beliau juga memberi jaminan bahawa PAS Pahang bersedia menyumbang buah fikiran, tenaga dan kepakaran kepada kerajaan negeri walaupun tanpa sebarang jawatan di peringkat pentadbiran.

“Walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, PAS Pahang akan tetap menjalankan tugas semak dan imbang yang dilaksanakan semasa kami bergelar pembangkang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, PAS mempunyai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang dan kesemuanya menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri, terutama selepas terbentuknya Muafakat Nasional semasa Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada Januari 2019.

Rosli juga memaklumkan bahawa mereka bersetuju menerima tawaran Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pahang.

“Tawaran dibuat bulan lalu untuk melibatkan tiga ahli PAS di setiap JKKK. Buat masa ini, kami telah mengarahkan setiap cawangan menghantar senarai calon yang dapat berkhidmat dengan baik untuk pemilihan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PAS Pahang sedia menerima bekas ahli Parti Amanah Negara yang ikhlas ingin kembali menyertai mereka. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply