Home Politik DAP Perak nafi rancang jatuhkan Faizal Azumu sebagai Menteri Besar

DAP Perak nafi rancang jatuhkan Faizal Azumu sebagai Menteri Besar

by Air Times News Network

IPOH, 11 Mac – DAP Perak hari ini menafikan tuduhan oleh dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu bahawa wujud rancangan untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan kerajaan negeri ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berkata, tuduhan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam adalah tidak berasas.

“Tuduhan itu sekadar suatu percubaan melulu untuk menjustifikasikan tindakan mereka berdua keluar parti,

“Reaksi untuk mencari alasan dan membuat tohmahan ini bukan sesuatu yang di luar jangkaan, memandangkan tindakan mereka mengkhianati pilihan dan mandat rakyat telah dikecam oleh para pengundi,

“Sikap sedemikian juga mestilah dikecam,” katanya.

Menurut Kah Woh, pada PRU-14 kedua-dua ADUN itu telah bertanding dan menang atas tiket Pakatan Harapan-DAP.

Beliau menambah kememnagan itu, adalah amanat dan mandat rakyat untuk menolak kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN).

“Bukannya untuk kedua-dua mereka terus bekerjasama dengan Ahmad Faizal yang telah mengumumkan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional dengan BN,

“Walau apa yang diutarakan sebagai alasan atau justifikasi, tindakan mereka adalah sebahagian daripada pembentukan kerajaan campuran Perikatan Nasional, yang sekali gus menumbangkan Kerajaan PH Perak,” jelasnya.

Kah Woh menegaskan, PH dan DAP adalah parti yang berprinsip serta berpegang kepada janji.

Menyentuh pemberian hak milik kekal tanah kepada peneroka FELDA, Rancangan Perkampungan Tersusun dan Kampung Baru, Kah Woh menyatakan kesemua perkara tersebut merupakan manifesto yang telah dipersetujui oleh keempat-empat parti PH dan telah diumumkan oleh Ahmad Faizal ketika itu.

“Beliau (Ahmad Faizal) juga telah beberapa kali mengulangi secara terbuka bahawa kerajaan PH di bawah pimpinanya akan melaksanakan kesemua janji-janji manifesto,

“Adalah menjadi tanggungjawab semua EXCO dan ADUN kerajaan untuk memastikan pelaksanaan janji-janji kepada rakyat,

“Namun dengan kesalnya ini telah menjadikan alasan oleh mereka yang tidak berprinsip sebagai justifikasi tindakan keluar parti mereka,” katanya.

Semalam, Choo Kiong dan Sivasubramaniam dalam satu sidang media mendakwa ada rancangan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal dan kerajaan negeri Perak yang sudah lama dibincangkan dalam Jawatankuasa DAP Perak.

Sebelum ini, Ahmad Faizal juga mengakui wujud usaha untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar semenjak hari pertama beliau dilantik ke jawatan itu.

Kenyataan media Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Who pada hari ini.

Related Articles

Leave a Reply