Home Politik BERSATU tidak lagi anggotai pentadbiran kerajaan Selangor

BERSATU tidak lagi anggotai pentadbiran kerajaan Selangor

by Air Times News Network

SELANGOR, 5 Mac – Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor hari ini memaklumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi menganggotai pentadbiran kerajaan berkuat kuasa serta merta.

Pimpinan PH negeri Selangor dalam kenyataan bersama berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mengambilkira dinamik politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.

“Jesteru, keterlibatan semua pimpinan dan ahli BERSATU adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, PH Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan untuk menyokong pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

“Sokongan ini sebagai menghormati mandat rakyat yang besar dan juga kepercayaan yang tinggi kepada PH Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,

“Pimpinan PH juga menjunjung tinggi titah Sultan Selangor supaya mengekalkan kestabilan dan perpaduan di negeri ini dan berusaha untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat di Selangor,” katanya.

PH Selangor juga berkata kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan kekal berjalan seperti biasa atas prinsip Federalisme yang digagas melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan Selangor bertegas sepakat untuk menolak sebarang cubaan mengganggu-gugat mandat rakyat,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini PH negeri Selangor mempunyai 50 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Barisan Nasional 5 kerusi dan PAS satu kerusi.

Sekarang menjadikan komposisi DUN Selangor 43 kerusi PH, Muafakat Nasional 6 kerusi, BERSATU 5 kerusi dan Bebas 2 kerusi.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply