Home Politik Siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman adalah tidak adil – Aktivis perhimpunan

Siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman adalah tidak adil – Aktivis perhimpunan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Aktivis perhimpunan dan Koordinator Projek Suara Rakyat Malaysia, Amir Abdul Hadi hari ini menegaskan siasatan terhadap beliau bersama 17 aktivis lain di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman adalah tidak adil.

Pihak polis hari ini telah memanggil 18 orang aktivis termasuk Datin Paduka Marina Mahathir dan Datuk Ambiga Sreenevasan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Amir mendakwa pihak polis tidak sepatutnya memanggil individu yang terlibat dalam perhimpunan yang diadakan pada 1 Mac yang lalu.

“Ini kerana sepanjang 7 hari konflik yang berlaku oleh parti-parti politik rakyat hanya mampu melihat dan ini memenatkan. Rakyat berasa apa yang disuarakan itu harus didengari,

“Mereka yang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman adalah tidak adil sama sekali,” jelas Amir selepas memberikan keterangan.

Menurut Amir, kesemua aktivis yang berhimpun adalah secara aman, tanpa senjata dan provokasi kerana sayangkan Malaysia. Ini jelas menunjukan bahawa tuntutan yang disampaikan ditujukan kepada Perdana Menteri yang baru dilantik.

“Sekiranya kita tidak boleh mengkritik Perdana Menteri maknanya tidak ada Perdana Menteri atau kerajaan yang boleh dikritik.

“PDRM seharusnya menghentikan provokasi-provokasi ini dan berikan ruang kepada rakyat untuk bersuara secara aman,” tambah Amir.

Amir berkata siasatan seperti ini adalah perkara yang lebih teruk jika dibandingkan dengan kerajaan semasa pemerintahan Barisan Nasional.

“Di zaman Barisan Nasional terdapat ramai aktivis dan mereka berhimpun untuk menunjukkan soladiriti. Tetapi tidak ada seorang pun yang dipanggil ke balai polis,

“Pihak polis boleh menangkap, soal siasat dan mendakwa tetapi para aktivis tidak akan takut serta akan terus mempertahankan hak-hak mereka sekiranya tidak bersetuju dengan apa-apa keputusan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini,” jelas Amir setelah memberi keterangan kepada pihak polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Amir merupakan antara aktivis yang terlibat semasa perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia, Tolak Pengkhianat’ di hadapan bangunan Sogo pada Ahad lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan siasatan dibuat terhadap Marina Mahathir dan Ambiga susulan perhimpunan itu.

 

Related Articles

Leave a Reply