Home Semasa Laungan ‘reformasi’ sambut Ahli Parlimen PKR di Istana Negara

Laungan ‘reformasi’ sambut Ahli Parlimen PKR di Istana Negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR – Laungan ‘reformasi’ bergema ketika bas persiaran pelancong membawa 40 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di luar pintu 2 Istana Negara hari ini.

Sekumpulan 30 lelaki daripada PKR berkumpul kira-kira 300 meter dari pintu 2 Istana Negara menunggu dan memberi sokongan kepada ahli parlimen parti mereka.

Antara yang menaiki bas persiaran dua tingkat itu menghadiri sesi temubual bersama Yang di-Pertuan Agong termasuklah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain Anwar, antara yang turut berada dalam bas yang sama ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ahli Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Hari ini, baki 131 ahli Parlimen akan ditemubual oleh baginda selepas 90 ahli Parlimen dari kumpulan pertama selesai berbuat demikian semalam.

Temubual bersama Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada proses mendapatkan pengesahan seterusnya membantu proses pembentukan kerajaan persekutuan baharu.

Related Articles

Leave a Reply