Home Semasa Bot karam: Mayat Koperal Asman ditemui

Bot karam: Mayat Koperal Asman ditemui

by Bernama

SANDAKAN, 15 Feb – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan, yang merupakan mangsa bot karam dilaporkan hilang pada Khamis, ditemukan mati kira-kira 6.20 petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat Koperal Asman Ongkal, 40, ditemukan dekat pesisir pantai Sandakan, kira-kira 1 km dari lokasi kejadian.

“Nelayan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa pertama, menemukan mangsa di kawasan yang agak cetek.

“Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dan berkasut ketika ditemui dan telah dicam oleh ahli keluarganya,” katanya kepada pemberita di jeti APMM Zon Sandakan di sini malam tadi.

Zainudin berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, sebuah bot penumpang, yang membawa 37 orang termasuk juragan, dari Pulau Tanjung Aru, 2.3 batu nautika dari sini, karam setelah berlanggar dengan kapal yang menunda sebuah bot kecil.

Mangsa hilang ketika menyelamatkan penumpang lain. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply