Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Sandakan Readiness Exercise medan uji kesiapsiagaan, keupayaan MAWILLA 2

Sandakan Readiness Exercise medan uji kesiapsiagaan, keupayaan MAWILLA 2

by Air Times News Network

SANDAKAN, 7 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan latihan Sandakan Readiness Exercise (SREX) di perairan pantai timur Sabah, semalam.

Latihan selama sehari ini bertujuan untuk menguji kesiapsiagaan dan keupayaan tempur armada TLDM khususnya kapal-kapal di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

SREX merupakan suatu pendekatan dinamik yang diilhamkan oleh Panglima Wilayah Laut 2 sebagai salah satu medium untuk melipatgandakan tahap kecekapan dan profesionalisme warga TLDM serta kesiapsiagaan aset-aset di bawah naungan MAWILLA 2.

Menurut TLDM, dalam eksesais ini melibatkan tiga buah kapal iaitu KD Sri Gaya, KD Yu dan KD Paus yang belayar dari Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) ke kawasan latihan sekitar perairan Sandakan bagi melaksanakan latihan bersama di laut.

“Dalam latihan ini, semua kapal-kapal terlibat telah diuji dengan beberapa latihan yang merangkumi pelbagai aspek, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi, taktik peperangan dan kecemasan,

“Latihan yang dilaksanakan ini adalah bertujuan bagi menguji tahap kewaspadaan serta kesiapsiagaan kru bagi menghadapi sebarang situasi ancaman dan kecemasan,” katanya.

Tim Penilai eksesais yang terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) dari MAWILLA 2 telah ditempatkan pada setiap kapal yang terlibat bagi menilai tahap kemahiran serta pencapaian warga kapal.

“Setiap teguran yang dikeluarkan akan menjadi rujukan bagi kapal-kapal yang lain semasa menjalani latihan SREX yang berikutnya,

“Cadangan penambahbaikan terhadap teguran yang diberikan juga akan dijadikan sebagai panduan oleh semua warga kapal yang terlibat bagi mempertingkatkan pengetahuan di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan,” jelasnya.

Selain memberi keyakinan serta mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa berada di pusat latihan, SREX turut memberi ruang kepada Pegawai Muda dalam mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi mereka khususnya dari aspek pengendalian kapal.

“Di samping itu, Laskar Dalam Latihan juga dapat menimba banyak pengetahuan dan pengalaman apabila mereka terlibat secara langsung di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan sepanjang pelayaran SREX,

“Inisiatif latihan SREX ini dilihat telah berjaya untuk menguji kesiapsiagaan operasi aset armada di MAWILLA 2 di samping mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi warga kapal dalam menangani situasi konflik di laut di samping memperkasakan ilmu peperangan maritim,” ujarnya.

Pelaksanaan latihan SREX ini juga membuktikan MAWILLA 2 sentiasa mementingkan kesiapsiagaan aset serta warganya dalam memberikan perlindungan keselamatan bagi menjamin kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

 

 

Related Articles

Leave a Reply