Home PolitikBarisan Nasional Lokman Adam dipecat dari parti UMNO

Lokman Adam dipecat dari parti UMNO

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini mendakwa beliau telah dipecat daripada parti itu semasa mesyuarat MKT petang tadi di Menara Dato’ Onn, PWTC.

Lokman dalam satu hantaran Facebooknya berkata, beliau memaklumkan telah dipecat daripada menjadi ahli UMNO. Beliau berkata keputusan diambil melalui proses mengundi angkat tangan. Undian pengerusi-pengerusi perhubungan UMNO yang bukan MKT turut diambil kira semasa mesyuarat itu.

“Saya redha dengan tindakan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ini, namun saya tetap setia kepada UMNO,

“Saya akan meneruskan perjuangan menentang Pakatan Harapan dan talibarut musuh dalam UMNO melalui sebuah NGO Laskar Siber Malaysia,” kata Lokman.

Beliau juga turut memaklumkan akan kembali memohon semula menjadi ahli UMNO, setelah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kembali menjadi Presiden UMNO semula.

Menurutnya lagi, apa yang penting, rancangan Zahid (Presiden UMNO) untuk memaksa 3.7 juta ahli UMNO untuk mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi Pakatan Nasional telah gagal.

Sebelum itu, tular satu video Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Mohd Jamal Yunos yang mendakwa pemecatan Lokman.

“Tahniah kepada seluruh ahli MKT, tahniah kepada Presiden UMNO dan tahniah juga kepada mereka yang ingin mahukan Lokman dipecat,

“Jadi dengan itu, pemecatan Lokman, esok diisytiharkan Barisan Nasional (BN)/UMNO akan menjadi kerajaan..terima kasih dan tahniah sekali lagi,” ujar Mohd Jamal.

Manakala ahli MKT, Datuk Dr Puad Zarkashi menerusi hantaran Facebooknya juga mendakwa pemecatan Lokman sebagai ahli UMNO atas syor Biro Politik adalah kurang bijak.

“Lokman hari ini dipecat sebagai ahli UMNO atas syor Biro Politik, tetapi bukan atas syor oleh Lembaga Disiplin,

“Apa fungsi Lembaga Disiplin? Kenapa Hishamuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama. Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Tun Dr Mahathir tanpa memaklumkan MKT dan Presiden UMNO adalah melanggar disiplin parti,

“Ia juga tidak menghormati institusi Presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif. Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam MKT, tapi gagal,” kata Puad.

Namun setakat ini, UMNO belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemecatan Lokman sebagai ahli UMNO.

 

Related Articles

Leave a Reply