SUNGAI UDANG, 30 Jan – Ketua Turus Tentera Darat Diraja Thailand (RTA), Jeneral Apirat Kongsompong hari ini dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged PARA.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi di Dataran Parawood 8 RRD, Kem Terendak, Melaka.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan hari ini berkata, penganugerahan tersebut sebagai pengiktirafan dan penghormatan Tentera Darat Malaysia (TDM) kepada Jeneral Apirat Kongsompong.
“Beret merun dan sayap penerjunan kehormat tersebut hanya dianugerahkan kepada individu atau pemimpin tertinggi tentera, atau kerajaan sama ada dari dalam atau luar negara di atas penghormatan serta pengiktirafan Briged berkenaan kepada mereka yang menerimanya,” kata kenyataan itu.
Upacara itu turut dihadiri Panglima 10 Briged PARA, Brig Jen Semaon Marjuki dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Selepas penganugerahan itu, Apirat menyaksikan persembahan Tarian Perang PARA yang melambangkan keberanian seorang pahlawan oleh pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) 10 Briged PARA.
Sebelum majlis, beliau turut dipersembahkan dengan Demonstrasi Dinamik seperti Tempur Tanpa Senjata, Tactical Combat Casualty Care (TCCC), Renang Tempur, Abseiling/Repelling, Fast Roping, Serangan Seksyen dan Human Wave.
Terdahulu Apirat telah tiba di Malaysia pada 29 Januari 2020 sempena lawatan rasmi beliau dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama ketenteraan yang sedia terjalin di antara Royal Thai Army (RTA) dan TDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1 Oktober 2018.
Dalam lawatan rasmi beliau ke Kementerian Pertahanan, Apirat telah membuat Kunjungan Hormat ke atas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.