Home Semasa Maritim Malaysia tahan kapal kargo Taiwan berlabuh tanpa kebenaran

Maritim Malaysia tahan kapal kargo Taiwan berlabuh tanpa kebenaran

by Bernama

MELAKA, 21 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal kargo yang berdaftar di Keelung, Taiwan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira empat batu nautika barat daya Pulau Upeh dekat sini, semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kapal kargo ‘XIE RIONG 12’ sepanjang 97.77 meter itu ditahan kira-kira 1.15 pagi setelah gagal menunjukkan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Penahanan dilakukan sewaktu pihak Maritim sedang melaksanakan rondaan rutin operasi harian dan mendapati sebuah kapal kargo sedang berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka.

“Kapal berkenaan dikendalikan 20 kru lelaki terdiri daripada 14 warga Taiwan dan enam Indonesia berumur antara 26 dan 64 tahun. Dua daripada kru kapal tersebut, ‘Master’ dan ‘Third Engineer’ diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Sementara itu, Haris Fadzillah berkata APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, justeru itu, orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut.

“Orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika ternampak sebarang perkara yang mencurigakan,” tambahnya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply