SEREMBAN, 30 Dis – Nurunnisa Abu Bakar, balu arwah Sarjan Mejar Sabaruddin Daud yang terkorban dalam operasi menentang penganas Sulu enam tahun lepas, hari ini menerima sumbangan daripada Tabung Kutipan Ops Daulat yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sumbangan berjumlah RM6,135 itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman di kediaman wanita itu di Taman Senawang Perdana, dekat sini.
Nurunnisa, 48, yang mempunyai tiga orang anak hasil perkongsian hidup dengan arwah Sabaruddin meluahkan rasa terharu kerana masih ada pihak masih mengingati waris anggota polis yang terkorban dalam Ops Daulat.
“Saya tidak sangka dan terkejut ketika dimaklumkan akan menerima sumbangan daripada FAMA hasil kutipan daripada orang ramai di pasar-pasar tani. Ini menunjukkan rakyat Malaysia menghargai perjuangan arwah dan anggota lain yang terkorban.
“Meskipun saya telah berpindah ke Negeri Sembilan tetapi masih ada pihak yang tetap mencari saya lagi di sini untuk menyampaikan sumbangan. Saya rasa dihargai dan amat berterima kasih atas sumbangan ini,” katanya.
Arwah Sabaruddin daripada unit komando 69 Ulu Kinta, Perak antara lapan anggota keselamatan yang terkorban sewaktu bertempur dengan pengganas Sulu dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah. Sabaruddin terkorban pada 1 Mac 2013
Che Zakaria berkata FAMA telah mengambil inisiatif untuk membantu balu anggota dan pegawai pasukan keselamatan yang terkorban dalam Ops Daulat dengan membuat kutipan sumbangan di pasar-pasar tani sejak 2013.
“Walaupun perisitiwa ini sudah berlaku enam tahun lepas tetapi kami serta rakyat Malaysia masih mengambil tahu dan mengambil berat mengenai kebajikan balu-balu bekas pejuang tanah air ini,” katanya. – Bernama