Home Semasa Hasrat Malaysia buka kedutaan untuk Palestin di Jordan tepat pada masanya – PCOM

Hasrat Malaysia buka kedutaan untuk Palestin di Jordan tepat pada masanya – PCOM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat bahawa Malaysia akan membuka sebuah kedutaan untuk Palestin di Jordan bakal menggabung dan meningkatkan sokongan kuat Kuala Lumpur terhadap perjuangan rakyat Palestin ke tahap lebih tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Imran berkata langkah itu dibuat tepat pada masanya ketika rakyat Palestin berdepan tekanan hebat agar menerima apa yang disifatkan sebagai perjanjian abad ini – satu pelan perdamaian yang dicadangkan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

“Rakyat Palestin mampu bertahan sehingga kini ketika berdepan tekanan hebat sebegini dan menolak sebarang penyelesaian yang tidak adil terhadap perjuangan kami.

“Oleh itu, langkah Malaysia mewujudkan kedutaan tersebut akan merangsang moral mereka ke arah kemerdekaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Pentadbiran Trump telah mendedahkan kandungan berkaitan bahagian ekonomi dalam perjanjian itu pada Jun, yang ditolak oleh kepimpinan Palestin.

Bagaimanapun, kandungan berkaitan bahagian politik dalam perjanjian itu belum didedahkan.

Ketika ini Palestin mempunyai sebuah kedutaan di Kuala Lumpur manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir turut mewakili kepentingan Palestin.

Muslim berkata pengumuman Dr Mahathir semasa berucap kepada pemimpin dan wakil 120 negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada sidang kemuncak edisi ke-18 badan itu di Baku sememangnya akan menggalakkan negara anggota lain untuk mengambil tindakan yang sama.

Selain mengetengahkan isu Palestin, Dr Mahathir menggesa negara-negara yang memindahkan kedutaan masing-masing ke Baitulmaqdis atau bercadang untuk berbuat demikian agar menimbang semula keputusan mereka.

“Mereka boleh melahirkan solidariti mereka secara ketara dan praktikal seperti yang dilakukan Malaysia. Saya percaya apa yang Malaysia telah lakukan sememangnya akan mempunyai kesan terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

Muslim berkata pembukaan kedutaan itu juga akan lebih memudahkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang menderita di bawah pendudukan rejim Zionis.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan serta rasa terhutang budi saya kepada kerajaan Malaysia dan Dr Mahathir kerana sudi mengambil langkah ini.

“Malaysia sememangnya komited untuk membebaskan Palestin dan ia telah, pada kesempatan yang berbeza, mempamerkan sokongan terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

PCOM, sebuah pertubuhan bukan kerajaan bebas yang berpangkalan di sini, telah ditubuhkan pada 2011 untuk menyebarkan kesedaran mengenai perjuangan Palestin kepada umum dan peringkat rasmi.
– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply