Home Semasa Kerajaan kaji mekanisme baharu biayai faedah pencen

Kerajaan kaji mekanisme baharu biayai faedah pencen

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme baharu untuk membiayai faedah persaraan penjawat awam berikutan jumlah perbelanjaan yang semakin meningkat.

“Faedah persaraan pada tahun 2018 telah meningkat kepada RM23.87 billion berbanding RM5.86 billion pada tahun 2006,” kata  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat pada hari ini.

Ketika menjawab soalan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, beliau turut menyatakan jumlah perbelanjaan bayaran faedah yang dijangka akan meningkat setiap tahun.

“Kerajaan memang prihatin terhadap masalah dan kita (kerajaan) ingin memberi bayaran persaraan yang mencukupi, tetapi kutipan cukai kita tidak mencukupi untuk membiayai kos persaraan yang semakin tinggi dan bertambah berbanding pertumbuhan ekonomi negara dan cukai kerajaan,

“Oleh kerana ada peningkatan umur untuk bersara, maka ini bermakna bahawa kekosongan semakin berkurangan dan kita tidak dapat mengambil pekerja-pekerja yang baharu dalam kerajaan, dengan sendirinya kita lihat jumlah pengangguran bertambah,” katanya.

Mahathir berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa kerajaan tidak mampu untuk memberikan pekerjaan kepada mereka (rakyat), namun kerajaan akan memberi latihan dan peluang – peluang pekerjaan di kalangan swasta kepada mereka (rakyat).

Beliau menambah, keupayaan kewangan kerajaan untuk memberikan bantuan kepada pesara adalah terhad jika ekonomi negara tidak berkembang dengan baik.

“Kita ingin melihat supaya mereka mendapat rawatan apabila mereka sakit, tetapi ini juga terhad kepada kebolehan dan kemampuan kita kerana kos rawatan pada masa kini adalah tinggi terutamanya pembedahan,

“Sebab itu kita perlu berjaga-jaga supaya tidak membuat janji yang kita tidak dapat tunaikan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?