Ketika jerebu semakin meruncing di tanah air kita, operasi pembenihan awan (OPA) telah dilaksanakan baru-baru ini bagi membendung kesan bencana kepada masyarakat.
Operasi sebegini dikendalikan dengan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (Meteorologi Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Apa itu OPA?
Operasi Pembenihan Awan (OPA) merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan. Menurut Meteorologi Malaysia, operasi ini dilaksanakan dengan menggunakan dua kaedah iaitu ‘pembenihan basah’ dan ‘pembenihan kering’.
Proses pembenihan basah melibatkan semburan air larutan garam biasa, Natrium Klorida (Sodium Chloride, NaCl) di dalam awan pada ketinggian 5,000 ke 8,000 kaki. Sementara itu, proses pembenihan kering pula melibatkan pembakaran suar higroskopik (higroscopic flare). Suar yang dipasang pada pesawat akan dibakar pada bahagian dasar awan pada ketinggian 3,000 ke 5,000 kaki.
Higroskopik ditakrifkan sebagai sifat sesuatu bahan untuk menyerap molekul air.
Berbeza dengan pembenihan basah yang menggunakan larutan air garam biasa, pembakaran suar higroskopik pula mengandungi campuran NaCl; Kalium Klorida (Potassium Chloride, KCl) dan Magnesium Oksida (Magnesium Oxide, MgO).
Walaupun kedua-dua teknik tersebut adalah berbeza dari segi perlaksanaan dan campuran bahan, tujuan utama OPA adalah untuk menggalakkan pembentukan awan hujan. Menurut pihak Meteorologi, operasi dengan meningkatkan keberkesanan proses mikrofizik awan yang terlibat dalam pembentukkan titisan air hujan daripada molekul wap air yang sedia ada.
“Keupayaan untuk membentuk titisan awan yang lebih besar daripada molekul wap air yang sedia ada memerlukan ejen buatan, Cloud Condensation Nuclei (CCN) mempunyai ciri-ciri higroskopik yang membantu untuk menarik, menyerap dan mengekalkan wap air di atmosfera,
“Garam biasa atau natrium klorida adalah salah satu contoh ejen higroskopik,” jelas Meteorologi Malaysia.
Kewujudan bahan higroskopik pada awan secara langsung mempercepatkan proses hujan dengan menggalakkan pembentukan partikel air dalam awan. Sekiranya pembentukan tersebut mencukupi, air yang terkumpul akan jatuh sebagai hujan.
Perlaksanaan OPA lazimnya dijalankan ketika bencana jerebu dan juga musim kemarau.
Cabaran OPA
Perlaksanaan OPA bergantung sepenuhnya dengan keadaan atmosfera dan cuaca. Antara faktor utama yang diambil kira adalah keadaan atmosfera yang stabil dan kandungan wap air yang banyak di udara.
Selain daripada itu, awan yang disasarkan untuk melakukan OPA adalah awan ‘towering cumulus’ (Cumulus congestus) yang tinggi dan besar.
Awan cumulus congestus merupakan salah satu jenis awan kumulus. Awan kumulus merupakan tompokan awan yang boleh dikenali dengan dasarnya rata dan sturktur bahagian atas yang berbonggol. Awan ini lazimnya dalam bentuk seperti kapas.
Bezanya, awan cumulus congestus merupakan awan yang berpotensi untuk membentuk awan kumulonimbus (cumulonimbus) atau dalam bahasa mudahnya, awan ribut. Berbeza dengan awan kumulus, awan kumulonimbus sejenis awan yang tinggi, padat, dan terlibat dalam ribut petir dan cuaca sejuk dan lembap lain.
Walaupun awan cumulus congestus dan awan cumulonimbus kelihatan hampir sama, awan cumulus congestus tidak mempunyai tekstur seperti fiber pada bahagian atasnya seperti awan cumulonimbus. Lazimnya, awan cumulonimbus disertai dengan guruh dan kilat. Kedua-dua ciri ini adalah antara ciri-ciri utama yang membezakan kedua-dua awan tersebut.
Oleh yang demikian, kepadatan atau bilangan jenis ‘towering cumulus’ merupakan antara faktor utama yang diambil kira untuk melaksanakan OPA. Selain daripada itu, kelembapan ruang udara yang dipengaruhi oleh bilangan wap air turut memberikan kesan tersendiri.
Perkara ini dapat dilihat apabila operasi pembenihan awan pada 17 dan 18 September ditangguhkan berikutan atmosfera kering dan ketiadaan awan berpontensi. Walaupun OPA dilaksanakan juga, ianya menjadi usaha yang sia-sia kerana keadaan yang tidak sesuai untuk operasi tersebut dilaksanakan.
Walaupun begitu, hasil OPA dapat dilihat dalam tempoh 30 ke 60 minit selepas operasi di mana hujan akan berlaku.
OPA dan TUDM.
Baru-baru ini, OPA telah dilaksanakan di Sarawak sementara operasi yang sama dilaksanakan di kawasan Semenanjung Malaysia yang merangkumi kawasan Selangor, Melaka dan negeri Sembilan. Operasi yang dilaksanakan melibatkan pesawat pengangkut C-130H ‘Hercules’ TUDM.
Pada ketika ini, TUDM telah menyediakan 2 buah pesawat C-130H untuk melaksanakan peranan tersebut dengan sebuah pesawat untuk melakukan operasi di kawasan Semenanjung Malaysia sementara sebuah lagi di Sabah dan Sarawak.
Namun begitu, terdapat kemungkinan bahawa bilangan pesawat akan ditambah untuk operasi tersebut sekiranya perlu. Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM semasa ditemui oleh Air Times sebelum ini semasa di Pangkalan Udara Subang.
Menurut beliau, operasi sebegini melibatkan kerjasama ketiga-tiga pihak (TUDM, NADMA dan Meteorologi Malaysia) dan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak lain bagi melaksanakan operasi tersebut.
Dari kaca mata penulis, operasi sebegini merupakan salah satu jujukan Operasi Ketenteraan Semasa Aman (Military Operation Other Than War) yang dilaksanakan oleh TUDM. Walaupun peranan utama TUDM adalah untuk menjadi lembayung kedaulatan ruang udara negara, tetapi TUDM tetap menyahut panggilan pertiwi bagi menabur bakti untuk menggempur bencana jerebu yang menyelubungi tanah air.
1 comment
[…] [Lagi artikel] – Operasi pembenihan awan dan TUDM […]