KUALA LUMPUR, 9 Nov – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kementerian Alam Sekitar telah mengeluarkan notis amaran kemungkinan banjir kilang di beberapa kawasan di 4 buah negeri.
Dalam notis yang dikeluarkan pada pukul 4 petang, JPS menyatakan daerah Rompin (Pahang) dan Klang (Selangor) berhadapan risiko banjir kilat.
Amaran yang sama turut dikeluarkan untuk 2 daerah di Johor (Mersing, Pontian) dan Sarawak (Kuching, Serian).
“Notis ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat,” katanya.
Menurut JPS, maklumat tersebut adalah berdasarkan ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Sistem Panduan Banjir Kilat Asia Tenggara-Oceania.
Terdahulu, MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang berkuatkuasa sehingga 11 November ini.
“Pada masa yang sama, negeri di Pantai Barat Semenanjung dan Sarawak dijangka mengalami ribut petir dan angin kencang yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam sepanjang minggu ini,” katanya. – airtimes.my