KUALA LUMPUR, 18 Sept -Lapan stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara catat kualiti udara amat tidak sihat, hari ini.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh portal Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS) kendalian JAS, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200 dikesan di 3 stesen di Selangor, 1 stesen di Negeri Sembilan, Putrajaya, Pulau Pinang dan Sarawak.
Di SELANGOR, stesen Johan Setia mencatatkan bacaan IPU pada 253, merupakan bacaan tertinggi pada kesemua stesen pemantauan di seluruh negara. Sementara itu, stesen Shah Alam mencatatkan bacaan setinggi 219. Stesen pemantauan di Klang, Petaling Jaya dan Putrajaya mencatatkan bacaan pada 202.

Bacaan kualiti udara amat tidak sihat dikesan di Selangor, Putrajaya dan negeri Sembilan.
Stesen di Kuala Selangor dan Banting pula mencatatkan paras kualiti udara tidak sihat (bawah 200).
Di NEGERI SEMBILAN, stesen di Nilai mencatatkan IPU setinggi 211. Sementara itu, stesen Port Dickson mencatatkan paras kualiti udara tidak sihat iaitu pada 163.
Di PULAU PINANG, stesen Balik Pulau mencatatkan bacaan IPU pada 204 manakala di Sri Aman, Sarawak adalah pada 244.

Stesen Balik Pulau di Pulau Pinang mencatatkan IPU pada 204.
Data yang dikeluarkan oleh JAS adalah berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara dan dilakukan pada setiap jam. Bacaan IPU pada 51 ke 100 ditakrifkan sebagai sederhana manakala 101 ke 200 sebagai tidak sihat. Sementara itu, bacaan kualiti udara pada 201 ke 300 diklasifikasikan sebagai tidak sihat sementara bacaan IPU melebihi paras 300 adalah kategori berbahaya.

Stesen pemantauan di Sri Aman, Sarawak catat IPU pada paras 244.
Hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan sebanyak 214 buah sekolah telah ditutup di Selangor berikutan catatan bacaan IPU melebihi paras 200. Langkah tersebut dibuat selaras dengan Surat Siaran KPM bilangan 1/2019 yang mengkehendaki pihak sekolah untuk menutup sekolah serta-merta apabila bacaan IPU melebih paras 200.