Home Semasa Lelaki ditembak ada rekod jenayah berkaitan dadah, samun

Lelaki ditembak ada rekod jenayah berkaitan dadah, samun

by Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Seorang lelaki yang cedera ditembak polis dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Jalan Genting Klang di sini, semalam, mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan samun.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dikehendaki untuk kes mencederakan orang di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mengulas penahanan suspek, beliau berkata polis memeriksa kenderaan jenis Proton Iswara dinaiki suspek dan dua rakannya kira-kira 8.30 malam.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, penumpang hadapan melepaskan satu das tembakan ke arah anggota sebelum kesemua mereka melarikan diri ke jalan utama.

“Berlaku kejadian berbalas tembakan menyebabkan suspek mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis merampas pistol jenis semi-auto HK USP 9mm bersama 35 butir peluru jenis 9mm yang digunakan suspek.

“Dua rakan suspek, bagaimanapun berjaya melarikan dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

Mazlan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!