Home Semasa Bekas juruterbang TUDM antara 7 penerjun bangunan bersama Jalur Gemilang

Bekas juruterbang TUDM antara 7 penerjun bangunan bersama Jalur Gemilang

by Bernama

PUTRAJAYA, 24 Ogos – Pelbagai cara dilakukan rakyat Malaysia untuk menunjukkan semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Tujuh penerjun dari Malaysia BASEjumper tidak ketinggalan menyemarakkan semangat patriotik dengan mengadakan pertunjukan “base jump” sambil mengibarkan Jalur Gemilang dari bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.

Seorang penerjun, Aziz Ahmad berkata beliau menyertai acara kibaran Jalur Gemilang ini bukan sahaja untuk menyambut Hari Kebangsaan, tetapi juga untuk mengenang para pejuang kemerdekaan.

“Perjuangan mereka membolehkan kita meraikan kemerdekaan dan menyanyikan lagu Negaraku kerana tanpa mereka kita mungkin masih menyanyikan lagu Union Jack ‘God Save the Queen’ (lagu) penjajah,” kata bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bercerita pengalamannya, penerjun yang bakal menginjak usia 63 tahun itu berkata beliau pernah melakukan lebih 3,000 terjunan bebas semasa berkhidmat dalam TUDM sebelum beralih kepada “base jump” sejak 20 tahun lepas melibatkan lebih 400 terjunan.

Aziz berkata aktiviti terjunannya pernah terhenti seketika selepas pesawat kendaliannya terhempas menyebabkannya mengalami kecederaan parah dan dirawat selama tiga bulan di unit rawatan rapi (ICU).

“Semasa melakukan “base jump” di Menara Kuala Lumpur saya juga pernah terlanggar tiang menyebabkan tulang femur (kiri) saya patah dan ditukar dengan titanium pada tahun 2004,” katanya sambil menambah beliau tidak pernah serik untuk melakukan terjunan.

Sementara itu, ketua penerjun Adi Khirman Marji berkata tiga Jalur Gemilang dikibarkan pada setiap sesi terjunan yang akan diadakan pada hari ini dan esok antara pukul 8.00 pagi hingga 11 pagi dan 4.45 petang hingga 7.00 petang.

“Sebenarnya kami berlatih untuk pelancaran Hari Keluarga KPWKM pada November nanti, tetapi kita ambil kesempatan ini menunjukkan rasa cinta kepada Malaysia dengan terjunan kibaran Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita selepas terjunan itu.

Adi Khirman, 37, berkata bangunan KPWKM setinggi kira-kira 500 kaki itu juga adalah yang paling selamat untuk acara “base jump” memandangkan ia bangunan tertinggi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Mengenai cabaran yang dihadapi pasukan itu, Adi Khirman yang pernah beberapa kali melakukan terjunan dari bangunan itu berkata, mereka terpaksa terjun dari bahagian kiri berbanding kebiasaannya dari bahagian kanan atas faktor arah tiupan angin.

“Hari ini pertama kali kami terjun dari sebelah kiri supaya setiap terjunan nampak kemas dan teratur. Agak cemas pada mulanya, tetapi alhamdulillah semuanya selamat,” katanya.

Terdahulu, aksi berani para penerjun itu menarik perhatian orang ramai yang beriadah di sekitar Lingkaran Gemilang Satu dan Jambatan Seri Gemilang, selain turut disaksikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply