SEOUL, 12 Ogos – Media Korea Selatan hari ini mendedahkan Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik baharu yang didakwa memiliki teknologi sama seperti pada Rusia dan Amerika Syarikat.
Menurut laporan KBS, media Korea Utara, Korean Central News Agency(KCNA) telah mengeluarkan imej peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari tapak pelancar. Menurut KCNA, peluru berpandu tersebut merupakan aset terbaharu milik Korea Utara dan telah dilancarkan oleh Kim Jong-Un pada Sabtu lalu.
Peluru berpandu balistik jarak dekat yang dikenali sebagai KN-23, merupakan varian peluru berpandu Iskander milik Rusia. Gambar tersebut turut menunjukkan sistem pelancar yang mempunyai persamaan dengan Army Tactical Missile System (ATACMS).
Iskander merupakan peluru berpandu balistik jarak dekat dan digunakan oleh Tentera Rusia. ATACMS merupakan peluru berpandu balistik yang digunakan oleh Amerika Syarikat.
Sabtu lalu, Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat sebagai tanda protes terhadap latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang akan dijalankan tidak lama lagi.