Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kor Perkhidmatan Am Tentera Darat terus komited galas tanggungjawab

Kor Perkhidmatan Am Tentera Darat terus komited galas tanggungjawab

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Kor Perkhidmatan Am (KPA) Tentera Darat (TD) terus komited menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diberikan tidak kira masa dan situasi dalam menghadapi cabaran pada masa kini kata Pengerusi KPA, Brigedier Jeneral Datuk Nazri Abu Bakar.

Nazri berkata pada usia 61 tahun penubuhan KPA, ia merupakan satu tempoh yang panjang dan menuntut setiap warganya untuk menyahut segala cabaran yang mendatang setelah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Julai 1958.

“Kita (KPA) sedang menghadapi cabaran dari segi tugas dan tanggungjawab yang kian bertambah dengan sumber kian berkurangan, kita menghadapi cabaran dari segi pengurusan sumber manusia yang kian kompleks bagi memenuhi kehendak individu serta organisasi,

“Kita juga menghadapi cabaran dalam memenuhi kehendak-kehendak pihak atasan yang kadang kala di luar kemampuan tetapi memerlukan kebijaksanaan dan innovasi di dalam menanganinya,” katanya semasa ucapan sambutan Hari Ulang Tahun KPA Ke-61 di Padang Kawad KEMENTAH, pada hari ini.

Nazri berkata warga KPA perlu menunjukkan bahawa betapa pentingnya KPA kepada TD khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya. Tanpa KPA pentadbiran di formasi-formasi akan mendatangkan masalah kepada mereka.

“Sehubungan itu, kita perlu bersatu kerana KPA terdiri daripada empat kompenan yang mempunyai kepakaran serta tanggunggjawab yang spesifik dalam membantu ATM mencapai visi yang telah digariskan.

Pengerusi KPA didalam ucapannya turut menekankan empat perkara utama iaitu disiplin, meningkatkan tahap pengetahuan kerja, kepimpinan dan kesatuan dalam memperbaharui tekad untuk terus berkhidmat dengan tulus dan ikhlas di samping melaksanakan tugas dengan penuh iltizam serta berintegriti dalam menjaga nama baik KPA.

Majlis perbarisan ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Riduan Yusoff melibatkan 21 pegawai dan 251 anggota lain-lain pangkat (LLP).

Turut hadir Pengarah UGAT, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Hadi Md Sharif, Pengarah Pendidikan; Brig Jen Hj Zulkefli Hj Abdullah dan Pemangku Pengarah Perhubungan Raya, Leftenan Kolonel Zuhairy Limat.

Mengimbas sejarah penubuhan KPA, ianya diwujudkan dalam tahun 1954 dengan nama The Federation General Service Corps di mana ketika itu ialah Pejabat-pejabat Rekod, Gaji, Perubatan, Pelajaran dan Perisikan namun pada 1 Jul 1958 secara rasminya ditubuhkan dengan nama Pasukan Perkhidmatan Am.

Bahagian Perubatan dan Perisikan kemudian berpisah dan menubuhkan kor yang berasingan dan Pasukan Perkhidmatan Am dengan rasminya menjadi Kor Perkhidmatan Am pada 1 Mei 1972 serta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan khidmat dari segi Urusan Gaji, Kerani, Pelajaran dan Perhubungan Raya kepada ATM dengan cogan kata KPA ialah ‘Berbakti’.

 

Related Articles

Leave a Reply