Home Pertahanan dan Keselamatan Markas Angkatan Bersama mula beroperasi di Pahang

Markas Angkatan Bersama mula beroperasi di Pahang

by M.Daim

KUANTAN, 1 Jul – Upacara Perbarisan Pengoperasian Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah diadakan di Kem Sungai Panching, Kuantan, hari ini.

Majlis perbarisan ini disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Seramai 50 orang pegawai dan 113 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam acara ini.

Acara ini turut menyaksikan Upacara Penyerahan Bendera Markas Angkatan Bersama oleh Panglima Angkatan Tentera kepada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki sebagai simbolik bermulanya pengoperasian MK AB di Kem Sungai Panching.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasaga Abdullah.

Sebelum ini, MK AB beroperasi di Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur sebelum kerja-kerja pemindahan dilaksanakan pada 12 Jun 2019.

Pemindahan yang dilakukan secara berperingkat akhirnya lengkap sepenuhnya pada 26 Jun yang lalu.

Projek pembinaan kompleks baharu MK AB di Kem Sungai Panching telah siap pada 25 April lalu dan diserahkan kepada MKAB setelah menjalani proses penilaian oleh Lembaga Ambil Alih.

Pemilihan lokasi penempatan MK AB di Kem Sungai Panching adalah berdasarkan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan pangkalan-pangkalan dan kem-kem ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

“Penempatan ini secara tidak langsung dapat merealisasikan konsep pengoperasian secara bersama (jointness) dengan berkesan,” jelas pihak MK AB dalam satu kenyataan.

Kejayaan operasi ini juga turut mencatatkan sejarah tersendiri buat Panglima Angkatan Bersama yang merupakan anak jati kelahiran Kuala Lipis, Pahang.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?