Home Semasa Penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan dilanjut hingga akhir tahun ini

Penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan dilanjut hingga akhir tahun ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan ini akan dilanjutkan lagi bagi tempoh enam bulan sehingga akhir Disember 2019.

KKM turut menyatakan pelanjutan adalah bagi memberikan peluang yang secukupnya kepada perokok ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahayanya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

“KKM juga maklum terdapat perokok yang masih merokok di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan perokok yang belum mahu berhenti merokok,

“Kami amat berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok demi untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” jelas pihak kementerian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Selain daripada itu, pihak KKM berpendapat bahawa impak kepada penguatkuasaan pendidikan yang dijalankan telah memberikan kesan yang sangat positif.

Pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok semenjak 1 Januari lalu adalah berdasarkan Artikel 8, perjanjian World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control.

Menurut KKM, pewartaan tersebut mendapat reaksi positif dari rakyat Malaysia.

“Melalui tinjauan yang telah dijalankan, rata-rata masyarakat di Malaysia telah mematuhi larangan ini secara baik dan ia telah dapat memberikan impak yang positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

“Ini menunjukkan komitmen rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini bagi memastikan kesihatan dan keselesaan semua orang ketika menikmati makanan di tempat awam,” kata KKM.

Related Articles

Leave a Reply