PETALING JAYA, 12 Mac – Polis Diaraja Malaysia menahan pemilik akaun Facebook “Zamri Bin Abd Razak” kerana didakwa memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu, semalam.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata suspek yang berusia 52 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Susupek turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.
“Permohonan remana lelaki terbabit dijangka akan direman hari ini.” Katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fuzi juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama atau kaum.
Terdahulu, polis menahan empat individu kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Siti Aisyah.