Home Semasa Op SAR bot karam di perairan Pulau Munuyan diteruskan

Op SAR bot karam di perairan Pulau Munuyan diteruskan

by Bernama

SANDAKAN, 2 Mac – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 5 lagi mangsa bot terbalik di perairan Pulau Nunuyan disini disambung semula hari ini selepas ditangguhkan pada pukul 6.30 petang semalam.

Operasi menyelamat tersebut membabitkan 9 aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada enam sektor.

Tiga aset dikerahkan oleh APMM untuk mencari 5 mangsa yang hilang dalam kejadian 6 petang pada Khamis.

Mangsa yang masih hilang ialah dua lelaki masing-masing berumur 38 dan 28 tahun, seorang wanita berumur 42 tahun, dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 8 dan satu tahun.

Mangsa lelaki berumur 38 tahun itu dipercayai tekong bot itu dan disyaki melarikan diri.

Pukul 12.15 tengahari semalam, lima mangsa (tiga lelaki dan dua wanita) diselamatkan oleh bot tempur TLDM selepas dilihat berpaut pada bot itu yang terbalik. Manakala kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dipercayai mangsa bot karam itu dijumpai kira-kira 100 meter daripada bot itu 4 jam kemudian.

Bot itu dipercayai dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora. – BERNAMA

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply