Home Pertahanan dan Keselamatan Berusia 25 tahun, Hawk masih pantas memusnah

Berusia 25 tahun, Hawk masih pantas memusnah

by M.Daim

SUBANG, 2 Mac 19 – Pesawat Hawk yang telah mencapai usia 25 dalam perkhidmatan TUDM masih kekal relevan sehingga kini bagi melaksanakan tugasan utamanya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara Malaysia.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyatakan perkara tersebut di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

“Saya ingin yakin skuadron-skuadron Hawk akan terus memberikan khidmat yang terbaik.

“Walaupun pesawat ini telah mencapai usia 25 tahun, tetapi dengan daya usaha daripada semua peringkat dalam TUDM telah menjadikan pesawat ini sebagai salah satu platform dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara kita,” kata Panglima Tentera Udara sebelum berlepas ke Pangkalan Udara Butterworth.

Beliau menaiki pesawat Hawk 108 yang diterbangkan oleh Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abd Hamid, Pegawai Memerintah No 6 Skn. Penerbangan beliau ke Butterworth turut diiringi dengan sebuah lagi pesawat Hawk 108.

Sejarah permulaan perkhidmatan Pesawat Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994 setelah penerimaan 2 buah pesawat pertama melalui Memorandum Of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Dis 1990.

Ketika itu, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan 10 buah Hawk 108 dan 18 buah Hawk 208 sebanyak 18 buah. Pesawat ini telah diterima secara berperingkat dengan 2 buah pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 buah pesawat.

Tahun 2019 menjadi detik bersejarah dan kebanggaan buat TUDM kerana meraikan Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk. Sambutan yang cukup meriah ini telah diadakan di Hangar No 15 Skn, Pangkalan Udara Butterworth.

Sepanjang 25 tahun perkhidmatan pesawat Hawk, pesawat ini telah dioperasikan oleh tiga buah skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

Antara operasi terbesar yang melibatkan pesawat ini adalah Ops Daulat pada Mac 2013 dimana 5 buah pesawat Hawk telah ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu.

No 6 Skuadron telah dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan  dari Pangkalan Udara Kuantan setelah tamatnya Ops Daulat. Pemindahan ini bagi memperkukuhkan pertahanan negara di Sabah dan Sarawak.

Disamping itu, pesawat ini juga digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan.  bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth dimana juruterbang-juruterbang muda dilatih untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang sebelum melayakkan mereka untuk mengendalikan pesawat-pesawat pejuang yang lain dalam TUDM.

Pelancaran gimik Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara.

Turut hadir dalam sambutan ini adalah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib bin Datuk Haji Ab Wahab TUDM; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Dato’ Zahani bin Zainal Abidin, Pegawai-pegawai Kanan TUDM, Juruterbang serta krew yang berkhidmat dan pernah berkhidmat dengan Skuadron Hawk.

Pesawat Hawk turut dijadualkan untuk terlibat dalam persembahan udara di Langkawi bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang berlansung pada 26 sehingga 30 Mac 2019.

Related Articles

1 comment

Diusia Ke-25, Hawk TUDM Tetap Mematikan – JakartaGreater 5 March 2019 - 12:00 pm

[…] dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan wilayah udara Malaysia, seperti dilansir dari laman Air Times, […]

Reply

Leave a Reply