Home Semasa Penasihat Kehormat PPIM Datuk Husainy Hashim meninggal dunia

Penasihat Kehormat PPIM Datuk Husainy Hashim meninggal dunia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Brigadier Jeneral (B) Datuk Husainy Hashim, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) kira-kira pukul 8.20 malam tadi setelah menderita penyakit angin ahmar sejak beberapa bulan lalu.

Memetik laporan Bernama, Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata Husainy, 73, yang juga Pengerusi Yayasan Patriot Negara dimasukkan ke hospital itu pada 16 Jan lepas akibat strok.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat PPIM dan beliau banyak membantu dalam tugasan kami dalam menegakkan keadilan demi hak pengguna.

“Segala nasihat dan pesanan beliau akan kami kenang dan amalkan demi meneruskan legasi beliau,” katanya lagi.

Beliau berkata jenazah Husainy akan dibawa ke Masjid Khalid Al Walid Jalan Padang Tembak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 di Kota Damansara pukul 10 pagi esok (Khamis).

Sepanjang 33 tahun dalam perkhidmatan ketenteraan, Allahyarham telah bertugas di beberapa agensi Awam seperti di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Penyelidikan di Cawangan Khas Kedah sebagai M10 Kementerian Pertahanan di Bahagian Keselamatan dan Perisikan serta Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan pada tahun 1986 dan 1987.

 

Related Articles

Leave a Reply