PUTRAJAYA, 19 Jan – Malaysia komited untuk menyelesaikan isu dua hala dengan Singapura secara aman dan tenang, kata Wisma Putra.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata usaha diplomatik sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian yang baik berhubung isu-isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara.
“Walaupun terdapat insiden terbaru yang seolah-olah melemahkan usaha diplomatik, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menerima surat bernada positif daripada Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Saifuddin juga bertemu Balakrishnan pada Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Chiang Mai, Thailand dari 17 hingga 18 Jan 2019.
Menurut kenyataan itu mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura Chee Wee Kiong dijadual diadakan pada 28 Jan 2019.
Jelasnya, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu-isu maritim Malaysia-Singapura serta hal-hal perundangan dan operasi dalam usaha meredakan keadaan selain menyediakan satu asas untuk perbincangan.
“Usaha-usaha berterusan ini menunjukkan komitmen utuh Malaysia dalam mencari penyelesaian diplomatik terhadap isu-isu dua hala dengan jiran terdekat Singapura dalam cara yang aman dan konstruktif, di atas asas kesamarataan dan saling menghormati,” katanya,” menurut Wisma Putra.