Home Semasa  Pakatan Harapan komited lindungi hak orang asli – Waytha Moorthy

 Pakatan Harapan komited lindungi hak orang asli – Waytha Moorthy

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Tindakan undang-undang yang difailkan oleh pejabat Peguam Negara bagi masyarakat Orang Asli Temiar terhadap kerajaan Negeri Kelantan menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited melindungi hak masyarakat Orang Asli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, berkata Kerajaan Persekutuan sangat prihatin terhadap penafian hak Orang Asli untuk menentukan masa depan sendiri selaras dengan peruntukan undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri yang melindungi hak mereka tetapi telah dilanggar oleh kerajaan negeri Kelantan.

“Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang berhak mendapat semua perlindungan yang sepatutnya daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Waytha berkata, terdapat beberapa kes pencerobohan tanah masyarakat peribumi yang berlaku tanpa persetujuan awal yang turut melanggar cara hidup dan juga menafikan hak mereka sebagai rakyat.

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Kenyataan itu yang memetik Peguam Negara Tommy Thomas juga berkata Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Thomas berkata, kerajaan negeri Kelantan telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta dan juga menggunakan jentera-jentera pembalakan untuk menebang serta membawa keluar kayu balak dari Kawasan hutan tanpa berunding dengan Orang Asli Temiar. Aktiviti berkenaan telah menjadi punca hakisan, pencemaran dan kemusnahan landskap Pos Simpor.

Related Articles

Leave a Reply