Home Semasa Kerajaan Malaysia pengecut, biarkan Menteri Besar Johor dibuli Singapura – PKR Johor

Kerajaan Malaysia pengecut, biarkan Menteri Besar Johor dibuli Singapura – PKR Johor

by M.Daim

JOHOR BAHRU 15 Jan. – Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim menyuarakan rasa kesal dengan sikap membisu dan berdiam diri kerajaan Persekutuan yang membenarkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menjadi sasaran untuk dibelasah oleh Menteri-menteri Singapura ‘membelasah’ dalam dan luar Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang bersedih apabila Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan termasuk timbalan-timbalannya yang dikatakan tidak mengambil peduli akan isu tersebut sehingga kini.

“Singapura membuli Menteri Besar Johor dan menjadikan Menteri Besar Johor sebagai kambing hitam dan ‘punching bag’ manakala pemimpin-pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

“Pemimpin-pemimpin kerajaan Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Datuk Osman Sapian mempertahankan diri seorang diri menghadapi tuduhan-tuduhan liar Singapura sedangkan beliau menjalankan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan apabila Singapura menarik dari untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Tindakan tersebut adalah tindak balas Singapura yang membantah kehadiran Osman ketika melawat MV Pedoman pada minggu lalu.

Menurut Singapura, Osman telah ‘menceroboh perairan’ Singapura.

Osman menegaskan tidak menceroboh perairan Singapura Rabu lalu sebaliknya mahu melawat kawasan perairan negeri ini dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan Johor.

Hassan berkata, sikap pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri yang seolah-olah bacul dan dayus kerana membiarkan Osman diserang Singapura tanpa dibela sewajarnya dan selayaknya dengan kedudukannya sebagai seorang Menteri Besar.

“Sebagai Ahli Parlimen Malaysia dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor yang menjadi sebahagian dari tunggak yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia dan di Johor saya berhak menimbulkan perkara ini dan menuntut jawapan kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, perkara itu akan dibangkitkan secara rasmi di Parlimen apabila persidangan bermula pada Mac ini.

 

Related Articles

Leave a Reply