Home Semasa PRK Cameron Higlands: Mat Sabu nafi guna aset ATM untuk kempen

PRK Cameron Higlands: Mat Sabu nafi guna aset ATM untuk kempen

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sehubungan itu, beliau meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat tuduhan terhadap beliau.

Mohamad berkata gambar yang memaparkan beliau dengan berlatarbelakangkan helikopter ATM adalah lawatan rasminya ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari, tiga hari sebelum penamaan calon PRK itu.

Manakala pada 12 Januari hari penamaan calon , beliau menaiki kereta persendirian ke Cameron Highlands.

“Saya hairan bekas perdana menteri boleh berfikiran standard macam orang lain. Sepatutnya dia semak dahulu fakta itu. Sebagai bekas perdana menteri kita hendak hormat dia.

“Tetapi kalau dia juga macam orang lain, saya rasa tidak apalah… kesian tengok orang bertaraf begitu mengambil maklumat tepi jalan,” katanya kepada Bernama selepas program bual bicara Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau mengulas hantaran di Facebook Najib mengenai gambar yang tular di media sosial mengaitkannya menggunakan helikopter ATM untuk berkempen pada PRK itu.

Mohamad berkata, anggota tentera ditemuinya di Kem Slim juga bukan pengundi Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya pengundi Parlimen Sungai Petani, Kedah.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan malam tadi berkata, dakwaan yang tular di media sosial bahawa Menteri Pertahanan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada PRK Cameron Highlands ada tidak benar sama sekali.

“Gambar pertama yang memaparkan Mohamad Sabu berlatarbelakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada Rabu, 9 Januari 2019. Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan.

“Gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK Cameron Highlands adalah pada hari Sabtu, 12 Januari 2019. Mohamad bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon,”menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan meminta agar mana-mana pihak perlu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara tidak benar.

Related Articles

Leave a Reply