Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kematian anggota TLDM: Mahkamah arah lembaga siasatan diadakan semula

Kematian anggota TLDM: Mahkamah arah lembaga siasatan diadakan semula

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan Majlis Angkatan Tentera Malaysia mengadakan semula Lembaga Siasatan bagi menyiasat sama ada seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal semasa ditahan di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Setiawan, Perak, dibuli secara mental dan fizikal ketika bertugas di pasukan KD Lekir.

Hakim Datuk Nordin Hassan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan waris kepada Allahyarham Muhammad Lailaltuiman Mohd Sukri supaya Lembaga Siasatan bersidang semula, antara lain untuk menyiasat punca Allahyarham tidak hadir bertugas dan sebab pasukan KD Lekir menahannya dalam Tangkapan Rapi tahun lepas.

Peguam Lt Kdr (B) Zalil Mohd Mess yang mewakili anggota keluarga Allahyarham memberitahu pemberita bahawa hakim itu bagaimanapun menolak beberapa perintah yang dimohon oleh pemohon dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 8 Dis 2017.

Pemohon ialah isteri Allahyarham, Nur Liya Asmira Yahya, 25 serta ibu dan bapa Allahyarham, Che Yah Che Cob dan Mohd Sukri Salleh, masing-masing berumur 53 tahun.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal mewakili Majlis Angkatan Tentera Malaysia; Panglima Tentera Laut; Panglima Armada Barat TLDM; dan Pegawai Memerintah Kapal Diraja Lekir selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan semakan itu pemohon antara lain memohon pengisytiharan bahawa penahanan Allahyarham dalam Tangkapan Rapi mulai 9.30 malam 27 Sept 2017 sehingga 3.24 pagi 29 Sept 2017, adalah salah di sisi undang-undang dan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan serta dapatan Lembaga Siasatan oleh kesemua responden pada 30 Sept 2017.

Mereka mendakwa Allahyarham Muhammad Lailaltuiman yang merupakan Laskar Kelas 1, telah ditangkap oleh anggota Provos TLDM pada 9.30 malam 26 Sept 2017 dan ditahan dalam Tangkapan Rapi melebihi tempoh 24 jam oleh responden keempat (Pegawai Memerintah Kapal Diraja Lekir) tanpa sebarang perintah daripada majistret sebelum didapati mati semasa berada dalam tahanan pada 29 Sept 2017.

Pemohon mendakwa mereka tidak dimaklumkan sebab kematian Allahyarham dan pihak TLDM hanya menyerahkan jenazahnya untuk dikebumikan oleh keluarga di Rantau Panjang, Kelantan pada hari sama (29 Sept).

Kesemua pemohon mendakwa mereka telah dimaklumkan bahawa Lembaga Siasatan telah diadakan pada 30 Sept 2017 dan satu daripada skop siasatan ialah untuk mengesahkan tempoh tidak hadir tanpa cuti atau tinggal tugas yang disyaki telah dilakukan oleh Allahyarham.

Ketiga-tiga pemohon mendakwa mereka tidak dimaklumkan atau diberikan sebarang notis pada atau sebelum Lembaga Siasatan bersidang selain mendakwa Lembaga Siasatan itu adalah cacat berikutan kegagalannya untuk memanggil kesemua pemohon dan mendengar keterangan mereka mengenai kejadian buli atau penderaan fizikal serta mental yang didakwa dialami Allahyarham.

Mereka berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pada 16 Okt 2017 oleh ibu Allahyarham selaku pemohon kedua di Balai Polis Pasir Mas, Kelantan berhubung dakwaan berlaku penderaan dan salah laku ke atas mangsa semasa bertugas di pasukan KD Lekir. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply