Beliau yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi tempoh 1987 hingga 2008 berkata, kerajaan perlu menumpukan tadbir urus negara dan bergerak dengan menggalas tanggungjawab besar dalam membangunkan negara.

Tokoh wanita ini turut senada dengan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan perlu menghentikan tindakan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara selama 61 tahun lepas.

Daim mahu kerajaan hari ini mula menumpukan kepada usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita teruskan mentadbir urus kerajaan, namun apabila masalah yang dibuat kerajaan terdahulu timbul, kita perlu memberitahu kepada rakyat, siapa yang melakukannya. Bagaimanapun, rakyat juga perlu tahu siapakah sebenarnya yang perlu dipersalahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh disumbangkan beliau sebaik sahaja menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Rafidah menyatakan akan memberi komitmennya kepada kerajaan PH menerusi keanggotaannya dalam parti itu.

Rafidah, yang kini Pengerusi AirAsia X Bhd, menekankan bahawa hasratnya untuk bersama-sama Bersatu bukan didorong faktor “orang lain turut menyertainya”.

“Saya menyertainya bukan untuk rancangan atau agenda peribadi…bukan budaya saya. Bagi saya, ia adalah penyertaan sokongan, saya telah melaksanakannya semasa membantu PH memenangi PRU-14,” katanya. – Bernama