Home Semasa “Bukannya baju komunis” – Kementerian Pertahanan

“Bukannya baju komunis” – Kementerian Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini menyatakan baju yang digunakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan,  Senator Liew Chin Tong  adalah baju korporat rasmi (bush jacket) dan bukannya pakaian seragam komunis.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab dakwaan bahawa Timbalan Menteri Pertahanan dengan sengaja memakai pakaian menyerupai tentera komunis ketika membuat Pemeriksaan Kawalan Kuarter semasa Pemeriksaan Kawalan Kuarter di Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong membuat lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kuching, Sarawak pada 25 Oktober lalu. Gambar ini menjadi perhatian selepas dakwaan Timbalan Menteri memakai pakaian seragam ala komunis tular di media sosial.
Foto: Twitter Liew Chin Tong

Kementerian Pertahanan Malaysia turut memaklumkan pakaian yang dipakai oleh Timbalan Menteri Pertahanan pada waktu tersebut adalah baju korporat rasmi (Bush Jacket) yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan untuk lawatan kerja khususnya melibatkan lawatan ke markas formasi dan kem-kem.

Pemakaian baju korporat tersebut adalah sebagai mematuhi arahan Menteri Pertahanan, Mohamad bin Sabu bahawa pakaian seragam tentera tidak boleh dipakai oleh orang awam dan hanya  boleh dipakai oleh anggota tentera sahaja yang telah melalui fasa latihan ketenteraan.

Bush jacket merupakan pakaian korporat Kementerian Pertahanan yang disediakan khusus kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan semasa melakukan lawatan kerja.

Sebelum ini,  dakwaan Senator Liew Chin Tong sengaja memakai pakaian ala komunis semasa pemeriksaan kawalan tular di media sosial dan dakwaan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi oleh netizen.

Related Articles

Leave a Reply