Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Anggota TLDM terjun selamatkan dua pemancing terjatuh ke laut

Anggota TLDM terjun selamatkan dua pemancing terjatuh ke laut

by Air Times News Network

LUMUT, 27 Okt – Tindakan pantas dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan dua pemancing yang hampir lemas selepas terjatuh dari bot dinaiki mereka dipercayai akibat dipukul ombak di Selat Dinding berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan TLDM Lumut semalam.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Weltron Duanis dan Jamalul Hayat A. Baser yang masing-masing merupakan kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa dan KD Kasturi berjaya menyelamatkan Mohd Izman Ibrahim, 35, dan rakannya, Muhammad Zulhusni Mohamad, 25, yang terjatuh ketika sedang memancing kira-kira 200 meter dari tambatan Pangkalan TLDM itu.

Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku apabila petugas titian kapal menyedari kejadian tersebut sebelum pegawai bertugas harian memaklumkannya kepada Pusat Operasi Armada Barat.

Menurutnya, susulan laporan tersebut, Weltron dan Jamalul Hayat yang sedang berada di kapal masing-masing di jeti tersebut bergegas terjun dan berenang ke arah kedua-dua mangsa yang telah berada di dalam laut dalam keadaan terkapai-kapai.

“TLDM melalui Pusat Operasi Armada Barat mengarahkan bot bantuan milik TLDM bergerak serta-merta ke tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa.

“Kru bot tiba di tempat kejadian dan seterusnya membantu perenang menaikkan mangsa ke bot bantuan. Keempat-empat mereka selamat dibawa pulang ke Himpitan 11 (Jeti) pada pukul 8.20 malam,” katanya.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pemancing itu dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam kenyataan itu juga, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad menyatakan rasa bangga dan berharap keberanian keenam-enam anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat tersebut dapat dijadikan contoh kepada anggota TLDM supaya sentiasa fokus serta proaktif dalam melaksanakan tugasan dan amanah yang dipikul -Bernama

Related Articles

Leave a Reply