Home Semasa Port Dickson perlu dibangunkan seperti Langkawi – Penduduk

Port Dickson perlu dibangunkan seperti Langkawi – Penduduk

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 9 Okt – Rata-rata masyarakat Melayu di Port Dickson mahu pusat peranginan itu dibangunkan sebagai bandar pelancongan yang tersohor di rantau ini, seboleh-bolehnya setaraf dengan Pulau Langkawi yang sememangnya dikenali di peringkat antarabangsa.

Mereka juga mahu kerajaan membangunkan ekonomi mereka dengan menambah bantuan selain menjaga kebajikan peniaga-peniaga kecil yang mencari rezeki di serata bandar peranginan itu.

Seorang peniaga, Mohd Aminnudin Abd Rahman, 39 berkata sudah sampai masanya Port Dickson dibangunkan seperti mana Langkawi yang memiliki pelbagai tarikan pelancong dan menjadi tumpuan pelawat antarabangsa.

“Harapan saya, walaupun siapa yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ini, dia dapat membangunkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan yang tersohor seperti Pulau Langkawi yang ada banyak resort dan hotel lima bintang serta tempat menarik pelancongan,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya Port Dickson yang dikenali dengan pantainya perlu menarik pelawat menerusi acara-acara tertentu.

“Port Dickson pun dah semakin suram, pelancong semakin kurang dan tiada pembaharuan yang dilakukan, jadi sesiapapun calon yang menang kali ini, naikkan balik nama Port Dickson,” katanya.

Seorang lagi peniaga Nurdiana Abd Manan, 35, yang berkongsi harapan serupa pada masa sama mahu pihak berkuasa menjaga kebajikan peniaga sepertinya.

Menurut pesara tentera Alias Ibrahim, 62 pula, masyarakat Port Dickson mahukan penambahbaikan dari segi ekonomi dan pelancongan selain wakilnya mengambil tahu tentang luahan rakyat dengan sentiasa turun padang.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Mereka akan membuang undi pada 13 Okt ini bagi memilih wakil rakyat baharu selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68 meletak jawatan pada 12 Sept lalu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar selaku calon Pakatan Harapan, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply