Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Hadir ke program tentera, Anwar ‘cakap tak serupa bikin’ – PAS

Hadir ke program tentera, Anwar ‘cakap tak serupa bikin’ – PAS

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 4 Okt – Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson malam tadi diibaratkan sebagai “cakap tidak serupa bikin” apabila menggunakan jentera dan kemudahan kerajaan dalam kempennya di PRK Port Dickson.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, Anwar bukan saja hadir di majlis berkenaan malah menaiki kenderaan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, semalam.

Beliau tiba ketika Mohamad sedang menyampaikan anugerah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan.

Mempersoalkan tindakan itu, Nasrudin berkata Anwar melanggar janjinya sendiri sebelum ini yang berkata tidak mahu menggunakan aset dan jentera kerajaan dalam kempennya.

“Apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini jelas membohongi dan mengkhianati apa yang diucapkannya sendiri?

“Saya tidak fikir ini calon yang sesuai diangkat sebagai perdana menteri, cakap tak serupa bikin. Tidak hairan jika calon ini menang, reformasi institusi yang sering dilaungkan akan dibakulsampahkan begitu saja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata kehadirannya bukan untuk bertemu pengundi Port Dickson memandangkan 110 pesara tentera yang menerima pingat datang dari seluruh negara.

Selain itu, Nasrudin membangkitkan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di situ, seperti yang diumumkan Mohamad pada 21 September lalu, seminggu sebelum penamaan calon.

“Ternyata Pakatan Harapan tidak komited dengan agenda reformasi sebaliknya mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara demi mencapai cita-cita mereka,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply