KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited dalam memastikan kebajikan anggota dengan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), termasuk menambah keluasan rumah agar sekurang-kurangnya mempunyai tiga bilik.
Langkah ini melibatkan kaedah naik taraf 2 to 1, di mana dua unit RKAT digabungkan menjadi satu untuk memberikan ruang lebih selesa kepada anggota dan keluarga mereka.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha menaik taraf RKAT jenis Kelas G seperti di RKAT Kem Ampat Tin, Kem Batu Kantonmen, Jalan Ipoh dan Kuala Lumpur turut termasuk dalam perancangan kerja bagi memastikan kemudahan perumahan anggota ATM berada dalam keadaan baik dan selesa.
“Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Markas Perkhidmatan ATM dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (BPKP, MATM), lebih 17,000 unit RKAT di seluruh negara memerlukan senggaraan melibatkan pelbagai jenis kerja dan kos,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kerja-kerja senggaraan dan naik taraf RKAT ini akan dilaksanakan melalui tiga kaedah utama iaitu penyelenggaraan secara menyeluruh (total maintenance), penggabungan dua unit RKAT menjadi satu unit lebih luas dengan sekurang-kurangnya tiga bilik (naik taraf 2 to 1) serta kerja pembaikan dan senggaraan berskala kecil (corrective and preventive).
Tegas Khaled, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan taraf hidup anggota ATM dan keluarga mereka serta memastikan kebajikan anggota dapat terus dipelihara.
“Pelaksanaan projek senggaraan ini akan melibatkan empat agensi utama iaitu BPKP, MATM, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Jabatan Kerja Raya Sabah, dan Jabatan Kerja Raya Sarawak,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#KementerianPertahanan #RKAT #AmpatTin #ATM #AirTimes