Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: RM230 juta bangunkan semula PULAPOT, Army Red Warrior di Port Dickson

#Pertahanan: RM230 juta bangunkan semula PULAPOT, Army Red Warrior di Port Dickson

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 27 Jul – Tanah seluas 24 hektar di Mukim Si Rusa akan dibangunkan menjadi kem, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan pusat latihan baru bagi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, projek yang menelan kos sebanyak RM232.9 juta ini melibatkan pembangunan semula aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pusat latihan bagi KPTD iaitu Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Tim Army Red Warrior (ARW) dan RKAT serta kemudahan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.

“Kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa ini akan melibatkan pembinaan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, Dewan Serbaguna dan Kemudahan Bilik Latihan,

“Selain itu kem tersebut turut bakal dilengkapi dengan Kemudahan Bilik Penginapan, Padang Kawad, Sirkit Menempuh Halangan, lapang sasar pistol dan lain-lain lagi kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT serta ARW,” jelas MINDEF.

Menurut MINDEF, sebanyak 213 unit RKAT pelbagai kelas turut akan dibina bagi bakal memberi manfaat kepada warga PULAPOT dan ARW.

Tambahnya, RKAT itu akan dilengkapkan dengan kemudahan seperti Kompleks Komuniti, Surau, Sekolah Rendah Agama, Tadika, Taska, Rumah BAKAT dan gelanggang sukan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kem dan RKAT bagi PULAPOT dan Army Red Warrior di Mukim Sri Rusa pada Khamis.

Mohamad berkata, projek ini mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk siap yang melibatkan rumah keluarga 5 tingkat dan 1 tingkat untuk kem.

“Pembangunan semula aset ATM ini merupakan salah satu komponen timbal balas daripada Pembinaan Perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) ATM yang telah diluluskan sebelum ini,

“Apabila projek tersebut siap pada 2025, ia bakal memberi keselesaan kepada anggota dan kepimpinan ATM,” jelasnya seperti dipetik Bernama.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply