SARAWAK, 17 Mac – Anggota tentera yang bertugas di Kem Oya, Sibu kini boleh tersenyum lega, apabila blok penginapan mereka di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) telah siap dibaikpulih.
Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia (31 Bgd) dalam hantaran di media sosialnya berkata, proses baik pulih dan senggaraan yang mengambil masa selama 4 bulan itu telah siap sepenuhnya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima 31 Bgd, Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid pada Selasa lalu.
Dalam majlis tersebut, Panglima 31 Bgd menyerahkan replika kunci kepada wakil blok iaitu Sarjan Mohd Rafizi Mohd Kamsi bersama keluarga sebagai simbolik perasmian blok.
“Blok G3 yang akan menempatkan Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dari 31 Bgd ini merupakan cetusan idea Panglima 31 Bgd memandangkan RKAT yang sedia ada turut menempatkan PTTK dan Pegawai Tidak Tauliah Rendah yang lain,
“Rombakan tersebut bertujuan memberi keselesaan kepada setiap peringkat anggota dan kemasukan peringkat awal Blok G3 ini akan diserahkan kepada 5 keluarga PTTK,” jelas hantaran itu.
Dalam masa yang sama, Abdul Jalal turut mengingatkan penghuni Blok G3 agar lebih bertanggungjawab terhadap kemudahan yang disediakan oleh perkhidmatan.
Jelasnya, acara ini mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan bertepatan dengan salah satu fokus utama Amanat PTD Tahun 2022 iaitu kesejahteraan dan kebajikan warga Tentera Darat Malaysia (TDM).-airtimes.my